Monday, April 14, 2008

Penduduk Dakwa DBKL Gagal Halang Pemaju Teruskan Pembangunan Di Bukit Gasing

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=326589

PETALING JAYA, 13 April (Bernama) -- Hampir 100 penduduk Taman Gasing Indah, hari Ahad berhimpun di dalam hujan lebat sebagai tanda membantah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa masih gagal menghalang pemaju daripada terus melakukan aktiviti pembangunan bagi projek pembinaan 142 lot banglo di kawasan seluas 15.2 hektar di Bukit Gasing di sini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing Edward Lee ketika ditemui pemberita mendakwa pihak DBKL gagal menghalang dan tidak memberikan hak pendengaran awam kepada penduduk untuk sama terlibat membuat keputusan terhadap perancangan di kawasan mereka.

"Kami akan ke mahkamah pada 23 April ini untuk mendapatkan perintah bagi DBKL memberikan "public hearing" dan perintah untuk menghentikan sebarang aktiviti pembangunan yang masih lagi berlangsung.

"Kami tidak mahu penduduk di sini menerima risiko yang besar seperti kejadian tanah runtuh dan sebagainya," katanya.

Lee berkata perhimpunan itu memperlihatkan bahawa penduduk serius dengan permintaan mereka agar segala aktiviti yang dijalankan dihentikan serta merta.

Sementara itu, Mohamed Kamar Mohamed, 64, yang telah menduduki kawasan itu selama 21 tahun ketika ditemui berkata aktiviti pembangunan yang dilakukan beberapa tahun lalu, telah menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh.

"Dalam tahun 2006 sahaja tiga kali kejadian tanah runtuh berlaku, namun pihak DBKL masih mendiamkan diri. Di atas bukit sana ada lebih kurang 2.2 juta liter air. Kalau ditarah, kami akan jadi seperti kejadian Highland Towers," katanya yang juga merupakan anggota Persatuan Bertindak Bukit Gasing.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan 108 penduduk Bukit Gasing bagi injunksi sementara secara ex-parte untuk menangguhkan semua tindakan berkaitan pembangunan di kawasan itu yang diluluskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Projek pembangunan milik Gasing Meridian Sdn Bhd (GMSB) di Taman Gasing Indah itu bersempadanan dengan kawasan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Bagaimanapun di kawasan Petaling Jaya, segala aktiviti pembangunan telah dihentikan sejak beberapa tahun dahulu.

Terdahulu, penduduk juga mendakwa Datuk Bandar Kuala Lumpur gagal mengambil kira bahawa mereka mempunyai hak di bawah undang-undang untuk diberikan notis dan diberikan peluang untuk menyatakan pendapat mereka dalam proses membuat keputusan terhadap perancangan.

Mereka juga menyatakan tindakan Datuk Bandar itu bertentangan dengan dasar dan niat Akta Wilayah Persekutuan (Perancangan) 1982 (Akta 267).

Akta itu, kata mereka, memperuntukkan bahawa persediaan bagi perancangan tempatan bagi Kuala Lumpur, yang bukan sahaja perlu diberikan kepada pemilik bersama tetapi semua penduduk dalam Wilayah Persekutuan, hak untuk didengar berkaitan perancangan pembangunan di kawasan mereka.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ab.Hakim Borhan mengulas perkara ini berkata pihak penduduk telah mendapat "temporay injunction" daripada mahkamah untuk tidak membenarkan beliau dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur daripada meluluskan sebarang pelan untuk sebarang projek di kawasan itu.

Ini bermakna sebarang projek pembangunan di kawasan itu yang terletak di dalam kawasan DBKL tidak akan diluluskan sehingga keputusan dibuat oleh mahkamah.

"Saya difahamkan mahkamah akan mendengar isu yang telah dibangkitkan pada 23 April (depan) dan akan buat keputusan pada 24 April," katanya ringkas kepada pemberita selepas majlis taklimat dengan penjualan projek perumahan rakyat di sini malam ini.