Sunday, March 1, 2009

Dialogue between the orang asli of Selangor and the Selangor government

This speech was delivered by Edward on behalf of Elizabeth Wong on Sunday 1 March 2009.

YAB Dato Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Yang Berhormat, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri
Yang Berbahagia wakil-wakil masyarakat Orang Asli

Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Selamat sejahtera dan selamat datang ke majlis mesra dan dialog antara masyarakat Orang Asli Selangor bersama Kerajaan Negeri Selangor.

Sesi mesra dan dialog hari ini merupakan satu titik sejarah yang amat penting, di mana YAB Dato Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor secara rasminya, bertemu dengan Orang Asli Selangor untuk mendengar dan memahami masalah, hujahan dan rintisan hati Orang Asli di negeri ini.

Sejak Pakatan Rakyat memerintah Negeri Selangor pada Mac 2008, kerajaan Negeri Selangor telah bersiap-sedia untuk menangani beberapa isu-isu penting Orang Asli yang dipinggirkan seperti masalah tanah pusaka Orang Asli, hakisan adat dan kebudayaan, pembangunan untuk Orang Asli, pembasmian kemiskinan dan sebagainya.

Ini bukan satu langkah yang mudah. Usaha untuk menuntut hak Orang Asli boleh diandaikan sebagai perjalanan yang penuh dengan cabaran.

Saudara-saudari sekalian, khasnya kepada mereka yang bukan Ornag Asli, tepuk dada dan cuba kita menanya diri-sendiri. Adakah kita semua telah membuangkan persepsi-persepsi sempit ataupun anggapan kasar terhadap golongan Orang Asli? Persepsi-persepsi seperti

(a) Orang Asli tidak mahu pembangunan;
(b) Orang Asli hanya mahu tanah, dan tanah ini akhirnya dijual kepada ataupun diusaha-sama dengan pemaju-pemaju;
(c) Orang Asli senang ditipu atau diperdayakan; dan
(d) ada pula konsep yang terlalu romantis iaitu (dengan izin) “the noble savage”.

Maafkan saya sekiranya saya berucap terus-terang, tetapi saya ingin dan perlu berhujah secara benar di sini supaya kita semua akan lebih prihatin dan bersedia bersama-sama dengan Orang Asli demi hak dan kebaikan mereka.

Persepsi-persepsi yang ternyata tadimasih kekal sehingga sekarang dan sering dimainkan oleh propaganda-propaganda arus perdana, dan dikekalkan dengan dasar-dasar kerajaan.

Maka, sekiranya saudara-saudari sekalian bersedia untuk mengubah nasib Orang Asli, kita pada asasnya perlu menukar persepsi orang awam dan juga pandangan pegawai-pegawai Kerajaan. Tukar persepsi dari pandangan yang sempit dan palsu, yang ternyata berunsur rasis, kepada sesuatu yang benar dan positif.

Saya perlu tegas di sini bahawa walaupun ratusan juta ringgit ditabur setiap tahun oleh Kerajaan Pusat yang kononnya untuk ‘Orang Asli’ tetapi pada realitinya, kebanyakkan peruntukan Orang Asli ini hanya memanfaatkan kontraktor-kontraktor, kuncu-kuncu politik yang mengkayakan diri sendiri sahaja.

Saya percaya saudara-saudari sekalian akan bersetuju dengan saya bahawa maruah dan hak seseorang tidak boleh dibeli, atau digadai. Maka,tanggungjawab sesebuah kerajaan, tidak kira kerajaan negeri ataupun pusat, ialah untuk memastikan maruah dan hak seseorang dipertahankan, dipeliharakan dan dibangunkan, apatah lagi seorang warganegara Malaysia.

Maruah dan hak Orang Asli bukan sahaja tidak boleh diabaikan, malah perlu diberikan lebih prihatin. Ini kerana sudah lama suara Orang Asli dipinggirkan dan paha halnya peminggiran ini tidak sepatutnya berlaku sejak awal lagi.

Di negeri Selangor, melalui sebuah jawatankuasa pemandu yang akan menggerakkan Jawatakuasa Bertindak Orang Asli (Taskforce on Orang Asli), kami dapat bergerak secara lebih berkesan dan sistematik. Pada petang ini, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa Pn Junita, diberi suatu tanggungjawab yang amat besar, sebagai penyelaras sebuah jawatankuasa di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat, dan ini merupakan buat pertama kali sebuah jawatankuasa kerajaan mengenai hal-ehwal Orang Asli, dijawat oleh Orang Asli sendiri.

Dalam perbelanjaan Negeri Selangor 2009, satu dana khas telah diluluskan untuk pembangunan Orang Asli. Pada tahun ini juga, kita berazam untuk meneliti dan mengkaji kawasan-kawasan yang sepatutnya diluluskan untuk penwartaan tanah rizab Orang Asli, di samping meneliti kemungkinan penggubalan suatu enakmen khas di Negeri Selangor yang boleh memelihara tanah rizab pusaka Orang Asli, supaya hak Orang Asli lebih terjamin.

Kita tidak akan berakhir dengan sesi dialog ini sahaja; ianya merupakan satu titik permulaan.

Perjalanan untuk merealisasikan hak Orang Asli di Selangor, menyelesaikan masalah-masalah saudara-saudari, dan secara ikhlasnya mengiktirafkan kedudukan khas masyarakat Orang Asli di negeri Selangor merupakan suatu perjalanan yang panjang dan penuh dengan rintangan.

Tetapi pada hari ini, di Desa Temuan Bukit Lanjan, sebuah perkampungan Orang Asli, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengikat tangan dengan saudara-saudari sekalian, bersama-sama menjejak langkah yang pertama, dan berganding bahu menuju ke masa depan yang lebih cerah dan lebih adil.

Saya ingin mengakhiri ucapan singkat saya dengan sepatah kata dari seorang pemimpin Orang Asal Amerika yang bernama Chief Oren Lyons dari Negara Onandaga, yang mengatakan:-

“Walaupun kita berada dalam perahu yang berbeza masing-masing, kita berkongsi sungai kehidupan yang sama,”

Sekian Terima Kasih. Salam setiakawan, Salam reformasi.

Elizabeth Wong

No comments: